Friday, May 23, 2014

SEJARAH TULISAN JAWI

Tulisan Jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad 10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan Jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang  menjadi pegangan orang Melayu (Hashim Hj Musa, 1995). Selain menjalankan aktiviti perniagaan, peniaga Arab juga menyebarkan dakwah Islam. Antara kesan penyebaran dakwah Islamiah ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu (Hamdan Abd Rahman, 1999). Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk Nusantara adalah huruf-huruf Arab atau sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi. Pada abad ke sebelas hingga ke empat belas, tulisan Jawi digunakan dengan meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara (Mohd Alwee Yusoff, 2005). Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu merupakan golongan yang celik Jawi.

Berdasarkan sejarah Bahasa Melayu (Kang Yong Seock, 1990) perkataan “Jawi” (جاوي) berasal daripada bahasa Arab “Jawah” "جاوة". Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam bahasa Melayu. Berdasarkan catatan sejarah Melayu (Hashim Hj Musa, 1999) perkataan Jawi adalah diadaptasikan oleh bahasa Melayu daripada tulisan Arab. Kemudiannya dibuat beberapa penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini. Berdasarkan kata adjektif dalam bahasa Arab,  perkataan Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain (Mohd Alwee Yusoff, 2005).

Oleh sebab itulah, maka para ulama dari Asia Tenggara sering meletakkan nama al-Jawi sebagai gelaran, pada hujung nama mereka sekalipun mereka terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al-Fatani al-Jawi dan lain-lain (Ismail Hussein, 1981). Selain itu, kata Jawi digunakan juga untuk ungkapan-ungkapan seperti Bahasa Jawi, Masuk Jawi dan Bangsa Jawi. Sampai kini orang-orang Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa (Amat Juhari Moain, 1996). Istilah “Tulisan Jawi” hanya dikenali di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan, Brunei Darussalam dan Sri Lanka (bagi rumpun Melayu). Tulisan Jawi di Indonesia terkenal dengan nama “Tulisan Melayu Huruf Arab” atau “Tulisan Melayu Arab”.

Penggunaan Jawi (atau apa sahaja istilah yang semakna dengannya) digunakan di banyak tempat di Asia Tenggara. Tulisan Jawi bukan hanya digunakan oleh orang Melayu untuk bahasa Melayu tetapi juga oleh suku-suku bangsa Melayu yang lain. Antara suku bangsa Melayu yang menggunakannya ialah Campa di Indo-China, Patani di selatan Thailand, Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Minangkabau, Bengkulu dan juga lain-lain (Lutfi Abas et. al, 1979). Bagi tulisan Jawa yang menggunakan huruf Arab dikenali dengan nama atau tulisan Pegon, yang sekarang ini masih dipakai atau digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama yang digunakan di pesantren-pesantren atau pondok-pondok pengajian agama di Jawa. Contohnya ialah kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat Bahasa Jawa (Amat Juhari Moain 1996: 18).


Tulisan Jawi Dalam Sejarah Bahasa Melayu

            Ahli Sejarah menamakan bahasa Melayu yang dituturkan pada zaman dahulu sebagai bahasa Melayu kuno dan perkembangan bahasa itulah yang mewujudkan bahasa Melayu. Para sarjana seperti Swift, Parkinson, Nelson, Wilson dan lain-lain (Sidek Saniff et.al, 2007) mempercayai bahawa bahasa Melayu kuno itu sudah mempunyai huruf dan sistem tulisan sejak zaman awal pertumbuhannya (Syed Naquib Al-Atas, 1990). Tulisan kuno ini, yang dipercayai seakan-akan tulisan Rencong seperti yang terdapat di Sumatera dan tulisan Kawi yang terdapat di Jawa, dikatakan berasal daripada tulisan Kampuchea purba. Tulisan itu tidak dapat kita warisi kerana bahan yang dijadikan kertas pada zaman itu tidak bertahan lama dan orang-orang dahulu kurang berminat untuk menyimpannya. Lebih-lebih lagi beberapa malapetaka sejarah seperti pembinasaan secara sengaja telah dilakukan oleh kalangan istana terhadap segala sesuatu yang berbau Hindu di peringkat awal perkembangan Islam di kepulauan ini (Hashim Hj Musa, 1999).

            Oleh sebab kewujudan huruf dan sistem tulisan bahasa Melayu pada zaman awal pertumbuhannya itu, sekadar anggapan ahli sejarah, dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu bukan bahasa yang penting tetapi “hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu sahaja”.  Perkembangan bahasa Melayu kuno dapat dianggap bermula pada abad ketujuh Masihi (Hashim Hj Musa, 1997). Ada empat batu bersurat tinggalan abad ini. Batu bersurat yang pertama, dijumpai di Kedukan Bukit di kaki Bukit Siguntang, bertarikh 683 Masihi; batu bersurat yang kedua dijumpai di Talang Tuwo, Palembang, bertarikh 684 Masihi; batu bersurat yang ketiga dijumpai di Karang Brahi, Jambi, bertarikh 686 Masihi; dan batu bersurat yang keempat ditemukan di Kota Kapur, Bangka, bertarikh 686 Masihi juga. Kesemua batu bersurat itu tertulis dengan huruf Pali (Pallava) iaitu huruf orang Pallava di selatan India (Hashim Hj Musa, 1992, 1992). Bahasa yang terdapat pada batu-batu bersurat itu terlalu jauh berbeza daripada bahasa Melayu kini. Para sarjana menganggapnya sebagai contoh bahasa Melayu kuno. Sebuah batu bersurat lagi dijumpai di Gandasuli, Jawa Tengah. Batu bersurat itu ditulis dengan huruf Nagiri. Huruf ini berasal dari utara India dan mempunyai hubungan rapat dengan agama Buddha. Batu bersurat itu dianggap sebagai penyata betapa jauhnya pengaruh bahasa Melayu ketika itu, sehingga sudah sampai ke tengah-tengah Pulau Jawa, satu tempat yang bahasa daerahnya amat berlainan sama sekali.

          Batu-batu bersurat di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu kuno menggunakan tulisan yang dibawa dari India. Batu bersurat bertarikh 1356 Masihi yang ditemukan di pagar ruyong dan batu bersurat (nisan) bertarikh 1380 Masihi di Minye Tujuh, Aceh, menunjukkan bahawa tulisan itu mungkin digunakan hingga abad keempat belas. Catatan pengembara Cina pula, seperti I-Tsing yang pernah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masihi, serta beberapa bukti sejarah yang lain, menunjukkan wujudnya kata Melayu (Mo-lo-yu) dan luasnya penggunaan bahasa Melayu kuno sejak abad ketujuh lagi. Oleh sebab hal ini jugalah maka sarjana-sarjana kita berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) lebih awal dari kurun ketiga belas. Profesor Ismail Husain membuat kesimpulan:
“Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang pasti, bahawa dalam abad ketujuh dan dalam abad-abad berikutnya, bahasa Melayu sudah dapat dan memang digunakan sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang dalam hal-hal tertentu dipergunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di daerah-daerah yang bukan termasuk daerah bahasa Melayu yang sebenarnya”.

Bagaimanapun, kenyataan di atas tidak menunjukkan kepada kita ketinggian bahasa Melayu ketika menggunakan huruf yang dibawa dari India itu. Batu nisan Minye Tujuh yang bertarikh 1380 Masihi dan masih menggunakan huruf Pallava, mungkin membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah begitu tinggi sehingga dapat menjadi bahasa penyataan puisi yang halus tetapi tidaklah sebanding dengan mutu bahasa pada batu bersurat Terengganu, yang 83 tahun lebih awal daripada batu nisan Minye Tujuh. Penemuan itu adalah lebih dekat dengan gaya bahasa Melayu kini dan kemelayuan bahasanya juga jelas. Sebaliknya, gaya bahasa yang terdapat pada batu nisan Minye Tujuh ialah gaya bahasa pra-Islam. Lebih menarik lagi apabila kita fikirkan pandangan Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas (1990) yang mengatakan bahawa sebelum Islam tiba di Kepulauan Melayu, tiada terdapat suatu bahasa umum yang dapat digelar bahasa Melayu. Terdapat pendapat lain mengatakan orang Melayu sebelum kedatangan Islam dikategorikan sebagai buta huruf. Menurut beliau,
" 'bahasa Melayu kuno' yang difikirkan orang itu sebenarnya tidak dapat dirumuskan sebagai Melayu, kerana zaman itu nampaknya belum timbul konsep bahasa Melayu. Prasasti-prasasti kala sebelum Islam tiada memberi kesimpulan yang cukup dan jelas terhadap bentuk sifat bahasa orang Melayu; hanya seolah-olah tulisan-tulisan yang terpahat padanya, adalah bentuk sifat bahasa campuran bahasa Pali dan lain-lain yang mungkin pula merupakan bahasa golongan tertentu yang tiada membayangkan bahasa orang sehari-hari. … Nampaknya besar pula kemungkinan bahawa pada zaman pra-Islam tiada terdapat satu tulisan tunggal, satu abjad, yang menyatu padu serta dengan kukuhnya mengikat bahasa meliputi golongan-golongan yang dapat diberi gelaran Melayu ".

                Penemuan bahan sejarah ini menjelaskan tentang kedudukan bahasa Melayu serta tulisannya sebelum kemunculan tulisan Jawi. Pertama, bahasa Melayu mula tumbuh pada abad ketujuh Masihi. Kedua, abad ketujuh hingga abad kedua belas merupakan tahap perkembangannya secara evolusi. Pada tahap ini bahasa Melayu berkemungkinan menjadi bahasa perantaraan di Kepulauan Melayu tetapi belum dapat menyaingi bahasa Jawa yang terbukti lebih maju. Walaupun bahasa Melayu belum dapat menyatukan pelbagai bahasa daerah yang terdapat di Kepulauan ini, bahasa Melayu bermula, secara evolusi, menjadi bahasa ilmu pengetahuan tetapi belum boleh dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang sebenarnya. Ketiga, bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai tulisan tetapi belum mempunyai satu sistem tulisan yang praktis (Edwar Djamaris, (1980) dan Ismail Hussein, (1981).

            Kemunculan tulisan Jawi membuka lembaran baru dalam sejarah bahasa Melayu. Sebuah batu bersurat dijumpai pada tahun 1899 Masihi di Sungai Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu. Pada batu itu terpahat huruf Arab-Melayu dianggap tulisan Jawi tertua di Asia Tenggara. Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masihi. Inti batu bersurat itu bertulis pengumuman sepuluh fasal “syarat undang-undang”. Pengumuman itu dimulakan dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah S.A.W.

               Penemuan ini bermakna, sebelum tahun 1303 Masihi, sekurang-kurangnya di Terengganu, sudah ada orang yang mengetahui atau boleh membaca tulisan Jawi. Perkara inilah dapat dirumuskan bahawa penulisan bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan dan menggunakan beberapa jenis huruf yang saling berganti. Tulisan yang mula dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dari India. Tulisan Pallava ini kemudian mengalami perubahan. Oleh itu, timbul jenis-jenis tulisan seperti berikut Tulisan Rencong, Tulisan Pallava, Tulisan Kawi, Tulisan Jawi, dan Tulisan Rumi (Hashim Hj Musa, 1996).

Menurut Amat Juhari Moain (1996), tulisan Jawi telah digunakan oleh orang Melayu dalam berbagai-bagai jenis lapangan dan kegiatan penulisan. Bahkan untuk kesenian juga tulisan ini digunakan, iaitu pada seni khat bagi menghiasi mihrab, di dinding dalam masjid, batu nisan dan seumpamanya. Dalam sejarah Melayu (Hashim Musa, 1996) dicatatkan bahawa tulisan Jawi telah digunakan untuk perkara berikut:
  1. Prasasti atau Batu Bersurat. Contohnya prasasti Terengganu yang telah ditemui di Sungai Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
  2. Batu Hidup. Tulisan ini terdapat pada batu hidup yang ditemui di Pangkalan Kempas, Negeri Sembilan.
  3. Batu Nisan. Ini banyak terdapat di berbagai-bagai tempat bekas berdirinya kerajaan-kerajaan Islam pada zaman silam.
  4. Mata Wang, terutama wang emas dan perak. Pada mata wang ini diukir nama raja Melayu yang memerintah dengan menggunakan tulisan Jawi seperti nama Sultan Muzaffar Shah, Mansur Shah dan lain-lain.
  5. Surat Kiriman Antara Raja. Ini banyak dibuat bukan sahaja antara raja Melayu tetapi juga dengan raja-raja di tempat lain seperti raja Melayu dengan raja Portugal atau raja Inggeris atau raja-raja lain.
  6. Kitab dan Buku. Jenis ini yang paling banyak terdapat sama ada dalam bentuk manuskrip (bertulisan tangan) atau cap batu.
  7. Surat-surat perjanjian antara raja dan negara di Alam Melayu.
  8. Catatan-catatan pemilikan dan perdagangan terutama di pelabuhan dan kapal-kapal perdagangan.
  9. Surat khabar dan majalah seperti surat khabar Alamat Lankapuri, majalah Bustan Arifin, surat khabar Jawi Peranakan dan majalah al-Imam.
  10. Piagam dan teks pemasyhuran. Contohnya seperti tulisan pada teks ciri yang dibacakan ketika melantik seseorang itu menjadi pembesar.
Hasil catatan tersebut jelas menunjukkan bahawa tulisan Jawi pada waktu itu digunakan dengan meluas dalam urusan-urusan penting sehingga dianggap satu tulisan yang hebat di kepulauan Tanah Melayu dan Nusantara. Penggunaan yang meluas itu telah menarik perhatian penulis-penulis tempatan dan luar negeri seperti W.G Shellaber (1925) untuk menulis buku Evolution of Malay Spelling, R.J. Wilkinson dan Winstedt dengan terbitan Kamus Jawi Melayu-Inggeris (1901,1903, 1913, 1939) yang masih menggunakan versi ejaan Jawi tua. Sehingga kini penyelarasan tulisan Jawi dibuat dari masa ke semasa oleh tokoh tersohor Jawi iaitu Ahmad bin Mathlob atau lebih dikenali sebagai Pak Mathlob. Sumbangan beliau dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi sangat besar memandangkan kerajaan Malaysia kini semakin giat mencari satu alternatif untuk memulihkan tulisan Jawi sejak daripada peringkat sekolah rendah.

CARA DAN PENDEKATAN PENGAJARAN/PEMBELAJARAN TULISAN JAWI

Pengajaran Jawi mempunyai kaedah pengajaran yang khusus dan tersendiri. Namun ramai yang beranggapan kaedah mengajar Jawi sama seperti kaedah pengajaran mata pelajaran lain dalam Pendidikan Islam. Tanggapan sebegitu kurang tepat. Kaedah pengajaran Jawi yang disarankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah diberi pendedahan secara khusus kepada bakal-bakal guru Pendidikan Islam dan j-QAF (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006). Kaedah-kaedah tersebut ialah kaedah pandang sebut, kaedah huruf (abjad), kaedah bunyi (fonetik), kaedah mengeja/membatang, kaedah imlak, kaedah latih tubi, kaedah permainan dan kaedah nyanyian.


Kaedah dan Huraian

1- Pandang Sebut
  • Membunyikan perkataan atau suku kata berdasarkan gambar.
  • Membunyikan ayat berdasarkan gambar yang ada cerita.
  • Tidak memfokuskan kepada pengajaran bunyi huruf dan tidak mengeja.
  • Kaedah paling popular dalam pengajaran Jawi dan menjimatkan masa guru.

2- Kaedah Huruf (Abjad)
  • Asas bacaan ialah bunyi pada setiap huruf yang membentuk perkataan.
  • Memperkenalkan kesemua 37 huruf Jawi, huruf vokal dan huruf konsonan.
  • Cantuman huruf konsonan vokal membentuk bunyi dalam suku kata seterusnya membentuk perkataan.
  • Membolehkan murid dapat mengeja dan membaca semua perkataan.
  • Mengambil masa yang lama untuk mengeja setiap perkataan.
  • Kaedah asas yang paling tua digunakan.


3- Kaedah Bunyi (Fonetik)
  • Asas bacaan yang menekankan hubungan simbol dan bunyi.
  • Banyak menggunakan teknik asiosasi bunyi dan asiosasi gambar seperti bunyi ‘eee’ bagi jijik dan ‘aa’ bagi pedas/panas.
  • Memperkenalkan bunyi-bunyi asas dahulu sebelum memperkenalkan semua bunyi.
  • Amat sesuai diajar kepada kanak-kanak yang baru mengenali huruf Jawi.

4- Mengeja/ Membatang
  • Mengeja dengan menyebut satu demi satu huruf yang membentuk suku kata.
  • Mengeja dan membunyikan huruf secara individu, kumpulan dan kelas.
  • Menggabungkan suku kata dieja dan membentuk perkataan.
  • Mengeja dan menulis perkataan yang dibentuk.

5- Imlak
  • Melibatkan kemahiran mendengar dan menulis secara mekanisme.
  • Menyalin unit bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat ataupun wacana.
  • Membaca dengan suara yang lantang sumber yang ditulis.
  • Menggunakan kemahiran mendengar dengan jelas dan melatih kemahiran menyebut dengan intonasi yang betul.

6- Latih-tubi
  • Juga dikenali dengan kaedah ulangan, tikrar dan amat hampir dengan kaedah hafazan.
  • Aktiviti mengulangi fakta dan kecekapan kemahiran yang dipelajari.
  • Mampu mencapai taraf penguasaan kemahiran dan mengekalkannya.

7- Permainan
  • Satu kaedah melatih murid dengan menarik dan praktis.
  • Dapat mengembangkan banyak kemahiran murid-murid.
  • Amat sesuai dengan murid-murid peringkat rendah.
  • Amat berkesan dalam memupuk minat, tujuan dan impak pengajaran.

8- Nyanyian/Nasyid
  • Selari dengan minat dan tahap murid sekolah rendah yang sangat suka menyanyi/bernasyid.
  • Perlu disesuaikan dengan isi kandungan pengajaran seperti lagu ‘aa, ba, ta’ dan ‘Rasa Sayang Jawi’.
  • Amat berkesan dalam membantu murid-murid mengingati huruf-huruf Jawi dan mengeja perkataan.
            Walaupun guru diminta memilih pendekatan dan kaedah yang paling sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Tidaklah bererti mereka hanya perlu menggunakan satu-satunya kaedah yang difikirkan terbaik dalam setiap pengajaran dan pembelajaran. Bahkan pengajaran dan pembelajaran yang baik akan mempelbagaikan penggunaan kaedah dalam setiap langkah pengajaran. Justeru pemahaman guru terhadap setiap pendekatan dan kaedah yang digunakan perlu jelas, betul dan mantap.

            Bagi menjamin keberkesanan Model Kelas Pemulihan Jawi pula, guru-guru j-QAF amat digalakkan menggunakan kaedah permainan dan nyanyian semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. Justeru itulah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membekalkan berbagai bahan bantu mengajar (BBM) kepada guru-guru j-QAF untuk diaplikasikan di dalam kelas Pemulihan Jawi. Antara bahan permainan yang dibekalkan ialah permainan Boling, Tenteng, Kad Huruf, Kereta Api, Pancing Ikan, Rumah Merpati dan Senawi atau Sahibba (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006).


[Rujukan : Asyraf Ridwan 2013 - Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013]

TEORI DAN KAEDAH TULISAN JAWI

Pada tahun 1812, Marsden telah memperkatakan tulisan Jawi dalam bukunya A Grammar of the Malayan Language (London, 1812).  Marsden menyebut tentang 28 abjad Arab (yang sebenarnya 29, iaitu abjad hamzah "ء" tidak diambil kira olehnya), yang dipinjam oleh bahasa Melayu dan mencipta enam abjad baru (termasuk "ذ" yang kemudian digugurkan).  Marsden menghuraikan penggunaan tiap-tiap abjad dalam perkataan dan menamakan abjad-abjad itu sebagai konsonan seperti halnya dalam bahasa Arab (Marsden, 1812:14). Tentang vokal, Marsden mengatakan tulisan Melayu juga menggunakan sistem pemvokalan seperti bahasa Arab (ibid) dengan menggunakan tanda-tanda baris, iaitu atas, bawah, dan hadapan. Marsden juga membincangkan tanda-tanda ortografi dalam tulisan Jawi seperti jezm (tanda mati), tasydid, hamzah, meddah (panjang pendek) dan angka (ibid,:20).

Pada tahun 1913, R.O. Winstedt telah memperkatakan ejaan Jawi dalam bukunya Malay Grammar (Oxford, 1913). Kajian Winstedt tentang ejaan ini jelas berasaskan kajian-kajian terdahulu, terutamanya yang dilakukan oleh Marsden (1812) dan Shellabear (1901).  Oleh itu tidak banyak perkara baru yang diperkatakannya, kecuali tentang tiga teori yang berkaitan dengan penggunaan huruf saksi oleh tukang tulis Jawi yang berpendidikan Arab dan kemunculan penggunaan hamzah "ء" (Winstedt, 1913: 41-42).  Selain ejaan Jawi, Winstedt juga telah memperkatakan ejaan Rumi Bahasa Melayu (ibid:43).

Di kalangan orang Melayu, Raja Ali Haji ialah tokoh yang mula-mula memperkatakan sistem ejaan Jawi seperti yang tercatat dalam tulisannya Bustan al-Katibin (1267 H./1857 M.) Huraian Raja Ali Haji tentang ejaan Jawi, sebenarnya merupakan panduan untuk mengenal, menyebut dan menggunakannya dalam bentuk tulisan. Tokoh Melayu seterusnya yang memperkatakan sistem tulisan Jawi ialah Muhammad Ibrahim, iaitu anak Abdullah Munshi, yang telah menerbitkan Kitab Pemimpin Johor pada tahun 1878 M.  Buku ini juga merupakan panduan tentang kaedah ejaan Jawi.

Tokoh Melayu yang mula-mula menganalisis sistem ejaan Jawi dengan bersungguh-sungguh dari segi prinsip dan segala permasalahannya ialah Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) dalam tulisannya yang bertajuk "Jawi Spelling" (JMBRAS, vol. IV, 1928, hlm. 80-104).  Beliau telah memperkatakan tulisan Jawi dari segi sebab-sebab timbulnya ketidakseragaman ejaan, sistem pemvokalan dalam Jawi, sistem ejaan dalam suku kata terbuka dan tertutup, kepanjangan, tekanan dan intonasi, perkembangan penggunaan abjad "ي , و , ا" penggunaan abjad-abjad  "ء , ا"dan penyebutan serta pengejaan bunyi a pada akhir kata. Za’ba seterusnya menerbitkan buku Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi pada tahun 1949.  Beliau juga telah membincangkan kaedah ejaan Jawi dan Rumi dalam buku nahunya yang termasyhur, iaitu Pelita Bahasa Melayu penggal I (1940).

Dua orang tokoh Melayu lagi yang pernah memperkatakan ejaan Jawi ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin al-marhum Murshid Riau yang termuat di dalam bukunya Rencana Melayu (1928).  Seorang lagi tokoh Melayu ialah Mejar Datuk Haji Muhammad Said Sulaiman yang telah menulis buku Buku Katan (1936) dan Panduan Bagi Ejaan PBmPB (1936).

Pada tahun 1954, sebuah jawatankuasa penyiasat tulisan Jawi-Rumi dalam Kongres Persuratan Melayu se-Malaya Kedua di Seremban, telah membandingkan sistem tulisan Jawi dan Rumi.  Hasil daripada penyiasatan itu maka disimpulkan dalam (Memorandum Mengenai Tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu 1954) 11 kelebihan tulisan Rumi berbanding dengan 12 kelemahan tulisan Jawi, dan satu kelemahan tulisan Rumi berbanding dengan satu sahaja kelebihan tulisan Jawi. 

Daripada hasil penyiasatan di atas, maka Angkatan Sasterawan telah mengesyorkan bahawa tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya.  Pengesyoran ini telah diterima oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, di Singapura/Johor Bahru, 1956, sambil mengambil ketetapan membentuk satu badan untuk mengkaji bagaimana hendak memelihara tulisan Jawi dan bagaimana hendak menyamakan ejaan tulisan Jawi di Malaya dan Indonesia.

Dalam tahun 1972, Raja Mukhtaruddin Dain, telah mengesyorkan satu sistem pemvokalan ejaan Jawi melalui penggunaan tanda-tanda baris sepenuhnya dengan mengetepikan penggunaan abjad"ي , و , ا"  untuk menandakan bunyi vokal (Raja Mukhtaruddin Dain, 1972: 309-312).  Beliau mengesyorkan tanda baris di atas melambangkan vokal a, tanda baris di hadapan melambangkan vokal u, tanda baris di bawah melambangkan vokal i, dan sebagainya.

Pada tahun 1981 Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia di bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengesyorkan supaya ejaan Jawi pada masa itu dikaji semula dan diperkemaskan.  Oleh itu, pada tahun 1983, melalui daya usaha Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Mohamad Amin, telah membuat penyelidikan tentang tulisan Jawi yang berjudul ”Satu Kajian Terhadap Kaedah Ejaan Jawi Za’ba”.  Tujuannya adalah untuk mencari data tentang ejaan Jawi Bahasa Melayu dengan harapan bahawa data itu akan digunakan sebagai asas untuk menyempurnakan ejaan tersebut. 

Bagaimanapun, hasil kajian tersebut telah dibahaskan oleh Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd. Dain dalam artikelnya "Laporan Tentang Satu Kajian Kaedah Ejaan Melayu Za’ba yang dibuat oleh Tuan Awang Mohd. Amin" dan Haji Hamdan bin Haji Abdul Rahman dalam artikelnya "Sistem Ejaan Jawi Bahasa Melayu Bagi Memenuhi Keperluan Masa Depan" dalam satu bengkel yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Februari 1983.  Sebagai kesan daripada perbincangan dalam bengkel itu, satu jawatankuasa ejaan Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka, telah dibentuk untuk menyemak sistem tulisan yang ada pada masa itu (khususnya sistem tulisan Jawi Za’ba) dan memperkemaskannya.

Sistem ejaan itu dibengkelkan dalam Konvensyen Kebangsaan Tulisan Jawi di Terengganu pada bulan April, 1994.  Sistem ejaan itu diterima oleh konvensyen, dan sebagai natijahnya, pada tahun 1986, diterbitkanlah buku Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Buku ini mengandungi tiga bab, iaitu tentang pengenalan abjad dan huruf, bentuk huruf dan cara penulisan dan kaedah mengeja Jawi.  Pada tahun 1988, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan pula buku Daftar Ejaan Rumi-Jawi.

Di kalangan orang Timur, Kang Keong Seock (1986) dari Korea telah menyiapkan satu kajian berjudul "Perkembangan Tulisan Jawi dalam Masyarakat Melayu" sebagai satu tesis Sarjana Sastera di Universiti Malaya, yang kemudiannya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1990).  Dalam kajiannya, Kang menyentuh tentang sejarah perkembangan tulisan Jawi daripada bentuk Arab kepada Melayu asli dan menghuraikan perkembangan tulisan Jawi. Kang telah mengesyorkan satu sistem gaya tulisan Jawi yang baharu. Pengesyorannya yang pertama adalah untuk melestarikan prinsip penggunaan baris yang ada pada ejaan Arab bagi bunyi-bunyi vokal pada suku kata tertutup.  Pengesyorannya yang kedua pula adalah bunyi vokal dalam suku kata terbuka mesti dilambangkan oleh abjad vokal yang sebenar.

Secara ringkasnya tulisan Jawi berkembang dengan kemunculan dan penyebaran akhbar-akhbar dan majalah-majalah Melayu dalam ejaan Jawi dan penubuhan sekolah-sekolah Melayu dan penerbitan buku-buku pelajaran sekolah.  Namun terdapat masalah dalam penyelarasan ejaan Jawi terutama sekali dalam pengejaan diftong dan juga pada persukuan kata tertentu.  Walaupun terdapat kedua-dua buah buku panduan ejaan Jawi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, namun dari segi perlaksanaannya mengambil masa yang lama terutama untuk mengubah sesuatu sistem yang sekian lama wujud dan telah berakar umbi dalam kebiasaan masyarakat Melayu.  Namun setelah tulisan Jawi diketepikan dalam pengajaran di sekolah, maka penggunaanya kini telah merosot.

Kesimpulannya pada penghujung tahun 1991, belum ada penyelarasan pada peringkat kebangsaan dalam sistem ejaan Jawi. Syarikat Utusan Melayu dalam terbitan-terbitan yang berbentuk Jawi masih lagi menggunakan sistem ejaan lama misalnya dalam akhbar Utusan Melayu dan majalah Utusan Qiblat. Begitu juga dengan Bahagian Pendidikan Agama, Kementerian Pendidikan yang menggunakan sistem tulisan Jawi yang berbeza dengan yang dikemukakan Dewan Bahasa.  Ekoran daripada itu, pada tahun 1991, Konvensyen Tulisan Jawi anjuran Pusat Islam di Kuala Lumpur telah mewujudkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Ejaan Jawi cadangan pembaikan terhadap Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (PEJYD) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1986/87).

Malah dengan perkembangan teknologi canggih, mesin komputer digunakan untuk penggunaan, pembelajaran dan penyebaran tulisan Jawi melalui perkataan (hardware) dan perisian (software) komputer dalam tulisan Arab secara meluas.  Pada 5 Mac 1992, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah melancarkan penggunaan dan penyebaran tulisan Jawi dengan terciptanya al-Bayan Arabic-English Bilingual Wordprocessor Jawi Version di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Untuk meluaskan penggunaan tulisan Jawi, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengambil prakarsa untuk mengarahkan semua institusi yang berada di bawahnya menggunakan Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan sepenuhnya dalam  penggunaan tulisan Jawi mereka.

Akhir sekali seni khat yang terdapat dalam tulisan Jawi terutama dalam pelbagai manuskrip Melayu dari zaman awal hingga abad ke-20 telah mengembangkan lagi tulisan Jawi. Kebanyakan manuskrip Melayu itu ditulis dalam bentuk khat gaya Naskhi yang dipengaruhi gaya Ta’liq, walaupun pada permulaan kemunculannya ada yang berbentuk gaya Thuluth yang terpengaruh dengan gaya Muhaqqaq dan Raihani.  Pada penghujung abad ke-19 dan abad ke-20, kebanyakan karya dalam tulisan Jawi dicetak dengan mesin dan kebanyakan bentuk khatnya dalam gaya Nashki tetapi judul buku, tajuk, kepala halaman dan sebagainya ditulis dalam pelbagai gaya seperti Thuluth, Ta’liq, Dewani, Riq’ah dan lain-lain.


Antara Bunyi Arab dan Bunyi Melayu

Dalam hubungan ini, terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-duanya, di mana bahasa Arab tidak ada konsonan '£_' (ng), '^T (ny), '£_' (c), '.j' (p), 'u^'Cg) dan juga vokal 'e' dan 'o'. Sungguhpun bahasa Arab tidak mempunyai huruf-huruf di atas, tetapi hakikatnya kebanyakan huruf-huruf itu ada dalam sebutan bahasa Arab. Keadaan ini hanya diketahui melalui ilmu Tajwid.

Di samping itu, bahasa Melayu yang digunakan sebelum orang-orang Melayu menerima Islam tidak ada konsonan '£_' ('ayn), '£/ (ghayn), 'i' (dhal), 'y (zay), 'J>' (syin), V' (sad)' 'u*' (dad)' V fta'), 'Jj' (?a') dan V (hamzah), namun demikian bunyi '£_' ('ayn) dan '£_' (ghayn) ada dalam penuturan (sebutan) bahasa daerah khasnya di bahagian Utara Semenanjung Malaysia.

Berhubung dengan perkataan yang berulang-ulang sebutan hurufnya, iaitu huruf pertamanya senyap, tidak berbaris yang dalam bahasa Arab disebut 'tasydid' seperti perkataan 'madarrah' (pengulangan 'ra') yang dalam bahasa Melayunya 'mudharaf, ia tidaklah secocok dengan lidah Melayu meskipun ia boleh dituturkan. Keadaan yang sama juga terdapat dalam tulisan Melayu yang dieja dalam tulisan Rumi, perkataan-perkataan yang menyamai fonem-fonem '£' (nga) dan 'Je>' (ga), dimana digandakan fonem-fonem 'nga' untuk '£_' dan 'g' untuk 'J»'. Misalnya 'langgar', 'hinggap', 'manggis', 'menggigil', 'menanggung', 'menenggelam' dan sebagainya. Oleh itu, pada dasarnya orang Melayu sememangnya berupaya menyebut huruf-huruf Arab dengan betul mengikut prinsip-prinsip fonemik Arab, meskipun berlaku perubahan bentuk kata dari segi morfologinya.

Apabila bangsa Melayu menganut Islam, sekaligus segala abjad Arab menjadi huruf-huruf tulisan orang-orang Melayu malah mereka dapat menyebut segala huruf itu dengan baik dan betul samalah seperti mereka menyebut dan menerima konsonan V dan 'y' dari fonem-fonem Latin.


Tulisan Rumi : Abjad, Fonem dan Ejaan

Tulisan Rumi berasal dari tulisan Latin yang menjadi tulisan seragam bagi bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain dan kini penggunaannya begitu meluas sekali. Sejarah tulisan Rumi di Nusantara bermula dengan kedatangan Portugis ke Melaka pada tahun 1511 Masihi yang sekaligus pula membawa agama Kristian ke rantau ini. Penerimaan tulisan Rumi sebagai skrip tulisan Melayu merupakan suatu kejayaan proses Kristianisasi dan sekularisasi terhadap16 penduduk Alam Melayu, iaitu seperti yang berlaku di Malaysia dan Indonesia. Tulisan Rumi berasal daripada abjad tulisan bangsa Tuscan moden, iaitu satu bangsa yang muncul lebih awal daripada bangsa Rumawi. Bangsa ini tinggal di Tuscany moden di daerah tengah Itali, tetapi memandangkan bangsa Rumawilah yang memberikan bentuk terakhir kepada tulisan huruf ini, sehingga kini tulisannya dikenali sebagai 'Tulisan Rumi'.

Abjad Rumi berasal daripada abjad Etruscan iaitu yang berkembang kira-kira pada tahun 600 S.M. Ini dapat dikesan dari skrip Etruscan, Greek, Phoenisia dan abjad Semetik yang digunakan di Syria dan Palestin pada tahun 1100 M. Kemasukan abjad Etruscan dalam bahasa Latin mungkin pada abad ke-7 S.M. Ini berdasarkan kepada satu inskripsi yang bertarikh pada abad ke-7 S.M. yang bertulis 'MANIOS MED FHEFH-KED NUMASIOP (bahasa Latin klasik: MANIUS ME FECIT NUMERIO', iaitu 'Manius Made Me For Numerius'). Bagaimanapun, dalam inskripsi lain yang ditemui pada abad ke-6 S.M. kemudiannya, iaitu yang dibaca dari kiri ke kanan, ia sama seperti abjad tulisan Rumi Melayu.

Pada masa dahulu, abjad/fonem tulisan Latin atau Rumi ini semuanya dalam huruf besar (MAJUSCULES). Manakala huruf-huruf (manuscules) baru dicipta kemudian, iaitu dengan mengubah huruf-huruf purba dengan menghapuskan sebahagian daripada huruf itu, contohnya 'h' berasal dari 'H' dan 'b' dari 'B' ataupun dengan memanjang sebahagian huruf yang sama, contohnya 'd' hasil dari 'D' yang dipanjangkan (dan diterbalikkan) bentuknya.

Selepas penaklukan Greek ke atas beberapa negeri di Eropah pada abad pertama Sebelum Masihi, sejumlah besar fonem-fonem Greek telah dipinjam oleh bahasa Latin. Pada waktu itu, simbol-simbol fonem 'y' dan 'z' telah diambil dari abjad Greek dan ditambah pada abjad Latin menjadikan 23 abjad semuanya. Setelah itu, beberapa tarnbahan baru dilakukan pada zaman pertengahan dan setelah itu, dapat ditentukan dan dibezakan antara nama-nama abjad dan jenis-jenis bunyinya (antara fonem-fonem 'u', V, T dan 'j' yang diperkenalkan oleh bangsa Normandy bagi bunyi Inggeris 'w' (semi vowel) dapat dibezakan dari V), maka, akhirnya abjad Rumi berjumlah 26 fonem semuanya, iaitu:
A a, B b, C c, D d, E e, F f, G g, H h, I i, J j, K k, L 1, M m, N n,
O o, P p, Q q, R r, S s, T t, U u, V v, W w, X x, Y y dan Z z.

Antara fonem-fonem itu, enam daripadanya vokal (huruf saksi) iaitu: a, e (taling), e (pepet), o dan u. Manakala yang baki, iaitu yang terbanyak adalah konsonan (huruf benar). Antara fonem-fonem itu ada yang mempunyai padanan selari dengan fonem Jawi dan ada yang tidak pasti padanannya dan ada yang memerlukan dua fonem bagi mengimbangi satu fonem Jawi. Tulisan Rumi, seperti juga bahasa-bahasa lain yang menggunakan huruf-huruf Latin telah melalui proses perkembangannya yang tabi'i sebelum ia menjadi lengkap dan mantap sehingga ia mampu menyahut segala cabaran dunia moden.

Menyorot kembali ejaan Rumi Melayu, dari segi sejarah didapati sarjana-sarjana Eropah pertama kali menulis bahasa Melayu dengan menggunakan ejaan Rumi, meskipun pada mulanya dilakukan secara perseorangan tetapi kemudiannya dilakukan secara beramai-ramai. Nama-nama seperti Willian Marsden, W.G Shellabear, R.J Wilkinson dan S.R Winstedt semuanya merupakan peneroka-peneroka awal perkamusan Melayu. Kemudian barulah  diikuti oleh Pendeta Za'ba dari kalangan sarjana-sarjana Melayu.


Kaedah Tulisan Rumi Melayu

Garis kasar kaedah tulisan ejaan Rumi Melayu telah dirintis oleh R.J Wilkinson pada tahun 1902 dan kemudian digunakan dalam kamusnya 'Kamus Melayu-Inggeris' dan sebahagiannya dalam kamus-kamus lain, kecuali kamus yang diterbitkan oleh W.G Shellabear pada tahun 1902 dan 1916. Sejak itu, buku-buku Melayu yang dicetak di Tanah Melayu waktu itu adalah mengikut kaedah ejaan tersebut dengan sedikit pindaan sahaja. Kaedah yang sama juga diikuti oleh Pendeta Za'ba dalam bukunya 'Daftar Ejaan Melayu', cetakan tahun 1941 dan 1949; dan kemudian kaedah ini juga digunakan dalam 'Pelita Bahasa Melayu' Penggal 1, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1964.

Sungguhpun Wilkinson seorang sarjana Barat yang mempunyai motif tertentu dalam penulisannya, tetapi beliau lebih memelihara keaslian tatabahasa Arab dan ia berjasa besar terhadap perkembangan bahasa Melayu dan tulisannya dengan tidak menyekat keseragaman ejaan Jawi dengan ejaan Rumi.

Penggunaan kaedah ejaan yang dibuat oleh para sarjana silam dan hari ini serta oleh institusi-institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka tidak digunakan secara seragam. Media tempatan nampaknya masih tidak memberi perhatian yang sewajarnya terhadap istilah-istilah Arab ini. Oleh itu, penyelarasan dan keseragaman ejaan, serta transliterasi yang betul amat diperlukan untuk menyelesaikan masalah merumikan huruf grafen Arab kepada fonem Latin atau Rumi.


Penyelarasan Ejaan

Dalam usaha untuk menyelaraskan ejaan Rumi antara kedua negara serumpun (Malaysia dan Indonesia contohnya), maka jawatankuasa demi jawatankuasa telah ditubuhkan antara negara-negara di rantau ini, misalnya Jawatankuasa Ejaan Malindo yang telah ditubuhkan dan telah beberapa kali mengadakan pertemuan. Kali pertama pertemuan diadakan di Jakarta pada bulan Disember 1959 dan kali kedua pada bulan September 1966. Seterusnya pada 16 Ogos 1972, diisytiharkan ejaan baru secara rasmi di kedua-dua negara serumpun itu.

Ejaan baru yang dikenal sebagai 'Ejaan Malindo' ini mengambil jalan tengah antara ejaan Inggeris dan Belanda dan ini menjadikannya lebih ekonomis dan terselaras. Namun demikian, dalam hal penyesuaian antara hukum/grafen Arab dengan fonem Rumi, nampaknya ia masih berada di takuk lama, di mana masing-masing negara bebas menggunakan ejaan sendiri, terutama yang berkaitan dengan padanan hukum/grafen Arab dengan fonem Rumi. Ini kerana Jawatankuasa Ejaan Malindo yang bertemu di Bogor iaitu pada Ogos 1976 telah bersetuju bahawa istilah transliterasi hanya akan digunakan dalam bidang agama Islam sahaja iaitu tidak merangkumi seluruh perkataan Arab yang digunakan dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Untuk menyahut usaha murni tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil tanggungjawab awal. Berikutnya, dalam buku Istilah Agama Islam terbitannya pada tahun 1977, antara lainnya, institusi tersebut memberi padanan kepada huruf 'jj' dengan 'z', 'J>' dengan 'sy\ '£.' dengan 'h', '^' dengan 't', 'j' dengan 'z' dan 'o' dengan 't'. (Engku Ibrahim Ismail & Abdul Ghani Samsudin (1988), op.cit., h. 30. Jurnal Usuluddin, Bil 21 [2005] 23-38)


Pedoman Transliterasi Dewan

Untuk menyesuaikan ejaan Jawi Melayu dengan ejaan Ruminya, maka beberapa padanan huruf dan transliterasinya dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang diharapkan dapat mengelakkan kekeliruan. orang awam terhadap ejaan beberapa perkataan Arab dalam bahasa Melayu.

Pedoman ini merangkumi aspek-aspek berikut:
1. Konsonan
2. Vokal
3. Kaedah penggunaan alif (f), wau (j) dan ya (c).
4. Huruf konsonan '5' (ta' marbutah) di akhir kata
5. '«.' hamzat (un)
6. jju (maddat)
7. jjx$3 (sydddat atau tasydid)
8. jij£ (tanwin)
9. J\(al-)
10. Penulisan kata dan huruf
11. Huruf Besar.

la dianggap dapat menyelesaikan sebahagian dengan masalah transliterasi huruf/grafen Arab ke fonem Rumi walaupun tidak secara keseluruhannya. Kemudian di dalam Daftar Ejaan Rumi-Jawi, terbitan Dewan Bahasa tahun 1998, didapati beberapa padanan kepada huruf Arab yang diberi padanan Ruminya berbeza sedikit daripada buku Istilah Agama Islam. Huruf 'i' dipadankan dengan fonem 's (th)', '£_' dengan 'a' dan 'k', 'J' dengan 'k/q\ 'j' (waw titik di atasnya) dengan V, '£.' dan V dengan 'h', '*)' dengan 'k', '«.' dengan 'y, i dan e', '£_' dengan 'c', '^' dengan 'ng', 'Lj' dengan 'p', 'Jp' dengan 'g' dan '&' dengan 'ny'. ( Dewan Bahasa Dan Pustaka (1988), Daftar Ejaan Rumi-Jawi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 152)


Kesimpulan

Tulisan Jawi yang berasaskan huruf-huruf al-Quran menekankan konsep keseragaman dalam sebutannya. la perlu disanjung tinggi dan dipelajari oleh orang-orang Melayu, kerana ia bukanlah suatu perkara yang sukar dan baru dalam masyarakat Melayu. Orang Melayu sejak dari kecil lagi telah diorientasikan dengan tulisan ini melalui pengajian al-Quran. Jika dikatakan tulisan Jawi tidak sekata dan tidak konsisten, maka ia bukanlah boleh dijadikan alasan untuk kita mengenepikannya. Bahkan tulisan Latin (Rumi) yang digunakan oleh bangsa-bangsa Eropah sejak dahulu hingga sekarang pun masih tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangannya, malahan lebih teruk lagi daripada tulisan Jawi dan Rumi Melayu. Ini kerana tidak adanya suatu sistem tulisan dan ejaan yang lengkap dan seragam. Bahasa Inggeris yang diagung-agungkan itupun masih ada kekurangannya. Fonem 'a' dalam bahasa Inggeris misalnya, kadang-kadang disebut semacam 'alifmadd' dalam bahasa Arab, seperti pada perkataan 'man', kadang-kadang disebut dengan baris di atas (fathah), seperti pada 'about' dan yang lebih menyulitkan lagi ialah fonem 'u', di mana dibaca dengan pelbagai bunyi di kalangan orang-orang Eropah, termasuk juga penutur bahasa Inggeris. Fonem ini kadang-kadang disebut secara berbaris di atas (nasb) seperti pada 'cut' dan ada pula dibaca semacam berbaris di depan (dammah) seperti pada 'put'. Oleh kerana kesulitan inilah maka terdapat kalangan sarjana Barat yang beralih kepada usaha mencipta berbagai-bagai lambang bunyi bagi menyelesaikan masalah bunyi bahasa yang tidak sekata sebutannya dalam bahasa Barat.

Penggunaan lambang-lambang tertentu kini jelas terdapat dalam bahasa Perancis. Oleh itu tiada bahasa di dunia ini yang sempurna pada mulanya dan apabila berlaku pinjam-meminjam perbendaharaan kata antara bahasa-bahasa di dunia berlakulah pula perabahan pada perkataan-perkataan pinjaman itu dalam proses penyesuaiannya dengan bahasa ibunda, sama ada dalam bentuk kata, tatabahasa mahupun maknanya, iatu suatu yang tidak dapat dielakkan.

Ringkasnya, kata-kata pinjaman Arab dalam bahasa Melayu dan kesesuaian antara huruf-huruf 'Arab/Jawi dan Rumi perlu diberi perhatian sewajarnya. Huruf-huruf tertentu seperti '£,', '£_', '£_', 'J>\ 'jfi' dan sebagainya perlu diberi perhatian khusus terutama apabila ia berkait dengan istilah-istilah agama Islam agar keaslian bentuk dan maknanya yang melibatkan aspek-aspek morfologi, sintaksis dan semantik terpelihara dengan baik, sekaligus keseragaman ejaan dan sebutan (kefasihannya) persis seperti sebelumnya.

Oleh itu dalam usaha kita untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan tulisan Jawi dengan tidak menafikan tulisan Rumi, malah biarlah kedua-duanya berjalan seiringan, dan ini menampakkan kekayaan skrip Melayu. Kedua-duanya juga harus dapat mengeja segala bentuk bunyi bahasa asing khasnya bahasa 'Arab yang lebih rapat hubungannya dengan agama Islam. Segala kaedah ejaan seperti yang diutarakan oleh sarjana silam seperti William Marsden, W.G Shellabear, R.J Wilkinson, S.R Winstedt dan Za'ba perlu diberi perhatian. Saranan-saranan sarjana kini dan kaedah-kaedah ejaan dan transliterasi yang diutarakan oleh institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perkembangan Bahasa Kebangsaan, juga perlu diambil kira agar segala masalah yang merumitkan istilah Arab dalam tulisan Jawi dapat diatasi.

Sumber Pemulihan Tulisan Jawi

DEFINISI DAN MAKNA TULISAN JAWI

Pengenalan

Tulisan Jawi telah lama wujud dalam tamadun Melayu sekitar gugusan kepulauan Melayu iaitu sekitar abad ke 10 Masihi atau 3 Hijrah sehingga kini dan ia berasal daripada tulisan Arab. Tulisan Jawi juga dikatakan satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian ke zaman Kerajaan Melakazaman Kerajaan Johor dan juga Acheh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M, manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan bahawa tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di JohorKedahKelantanPerlis, dan Terengganu.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Contohnya, ia digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Merdeka 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam skrip Jawi. Semasa bahasa Malaysia sedang berkembang dan tulisan ruminya telah menjadi penting sehingga tulisan ini digunakan secara berleluasa sebagai alat kebudayaan bagi Negara Malaysia. Tulisan Jawi ini boleh dianggap sebagai unsur  yang juga boleh dianggap perintis dalam bidang bahasa tetapi hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah memperkembangkan warisan sendiri  perlu dititik-beratkan. Oleh itu, warisan tulisan Jawi juga merupakan warisan yang tidak ternilai dan perlu dijaga dari masa ke semasa.


Keadaan Jawi sekarang dan kelemahannya

Menyedari bahawa tulisan Jawi adalah warisan bangsa dan negara yang di dalamnya terakam kekayaan khazanah tradisi kebudayaan, kesusasteraan, kepercayaan dan falsafah bangsa turun temurun. Oleh yang demikian, tulisan Jawi adalah salah satu unsur kebudayaan pribumi dan kebudayaan kebangsaan yang dapat dimanfaatkan untuk perpaduan dan persefahaman seluruh warganegara dan memupuk perasaan kesetianegaraan; di atas peranan dan penggunaan tulisan Jawi, ianya telah mengalami kemunduran di dalam semua sektor awam mahupun swasta sejak kebelakangan ini. Maka usaha telah dijalankan untuk memperkenalkan  kaedah-kaedah penulisan dan pengejaan tulisan Jawi supaya ianya tidak ketinggalan zaman.

Semenjak tahun 1303 tarikh Batu Bersurat di Terengganu dijumpai, maka tulisan Jawi telah banyak berkembang. Walaupun telah melalui berbagai-berbagai perubahan dalam konteks penulisan, namun tulisan Jawi masih lagi mempunyai pengaruh dalam masyarakat Melayu khususnya. Oleh itu, banyak usaha telah dilakukan bagi memartabatkan tulisan Jawi di semua peringkat malah akan terus digunakan oleh masyarakat Melayu sepanjang zaman. Penggunaan tulisan Jawi yang baik ialah dari segi penggunaan huruf Rumi semenjak pengaruh Barat memasuki alam Melayu. Kerajaan sekarang terus menggalakkan penggunaan tulisan Jawi di pelbagai peringkat terutama di peringkat sekolah kebangsaan dan disusun semula dan mungkin menjadi mata pelajaran wajib di sekolah menengah untuk tingkatan 1, 2 dan 3. Meskipun tulisan Jawi telah digunakan oleh masyarakat semenjak tujuh ratus tahun yang lalu, namun masih banyak yang belum diselidiki oleh pengkaji tentang perkembangan sejarahnya termasuk sistem tulisan serta faktor-faktor yang mempengaruhinya. Bahan dan batasan kajian menunjukkan bahawa masih ramai dikalangan pengguna di dalam tulisan Jawi masih lagi keliru terhadap kaedah-kaedah penulisan dan pengejaan tulisan Jawi. Disini, diketengahkan beberapa kaedah penulisan Jawi sepertimana yang disyaratkan dalam memperkukuhkan ejaan Jawi.

Tulisan Jawi ini asalnya daripada tulisan Arab yang dipinjam oleh orang Melayu. Oleh sebab huruf-huruf Arab mempunyai kekurangan dari sudut lambang-lambang untuk sebutan Melayu, maka orang-orang Melayu telah meminjam beberapa huruf Arab yang telah di-Parsikan. Dengan itu bertambahlah jumlah huruf Jawi. Huruf-huruf tambahan ini adalah ݢ) ، ڤ ، ڽ ،  dan ڠ untuk (g , p , ny , c) dan ng secara satu persatu yang tidak ada pada bahasa Arab. Selain daripada ini, terdapat juga beberapa huruf lain yang digunakan di dalam sebutan Melayu ini seperti tha, nya tanda ~ (untuk dal), serta yang lain-lain. Ini boleh kita dapati daripada kitab-kitab agama berbaris Jawa yang ditulis dengan huruf Arab atau bahasa disebut tulisan pegoa.

Tulisan dan ejaan Jawi sekalipun telah lama dipelajari oleh orang-orang Melayu, tetapi tidak ada rekod yang menunjukkan bahawa ada orang Melayu yang mengkajinya kecuali pada zaman abad terakhir ini terutama oleh pendeta Za’ba. Beliau telah mengkaji ejaan Jawi dengan mendalam sehingga beliau berjaya menyusun satu pedoman ejaan Jawi. Selain beliau, sebenarnya ada orang lain yang tidak kurang gigihnya dalam menggarap sistem ejaan Jawi serta menyusunnya dalam sebuah karangan, tetapi penyebaran tulisannya hanya berkisar di negeri Johor sahaja iaitu tempat beliau tinggal dan bertugas. Beliau ialah Mejar Datuk Haji Muhammad Sa’id bin Haji Sulaiman, orang kuat PBMPB diraja Johor (Pertubuhan Bahasa Melayu yang mula ditubuhkan pada tahun 1888 Masihi).

Pengkaji ejaan Jawi yang paling ramai jumlahnya ialah dari Barat. Mereka telah mempelajari dan mengkaji tulisan Jawi dengan bersungguh-sungguh. Usaha mereka itu dibuat dengan gigih kerana ada kepentingan-kepentingan tertentu. Tetapi yang penting sekali ialah untuk mengetahui bahasa Melayu dan hasil karya sasteranya. Antara peminat dan atau pengkaji tulisan Jawi ialah Worandly, William Mursedan, Klinkar, Rafles, Shellabear, Winston dan lain-lain. Di antara mereka ini ada yang mengkaji tulisan Jawi hanya bertujuan untuk digunakan bagi terjemahan kitab Injil (Bible) ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, Ladyker telah menerbitkan Injil (Bible) dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi pada tahun 1731-33, begitu juga Kalenkrah pada tahun 1870. Contoh Injil (Bible) yang diterjemahkan ialah Kisah Perbuatan Rasul-Rasul (Acts of the Apostles).

Selepas Za’ba, tidak ada orang yang mengkaji secara mendalam tentang sistem ejaan Jawi. Kalau ada pun hanya penerbitan buku untuk kegunaan, mengajar, menulis, dan membaca Jawi seperti yang diusahakan oleh Cikgu Haji Abdul Razak Hamid. Pada tahun 1983, Dewan Bahasa Dan Pustaka baru bergerak kuat dan memandang serius tentang sistem ejaan Jawi. Pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji sistem ejaan Jawi. Walaupun begitu, sistem ejaan Jawi yang dibuat oleh Za’ba masih menjadi sistem utama. Satu kertas kerja tentang sistem ejaan Jawi baru dengan beberapa tambahan dan pindaan telah dibentangkan dalam konvensyen ejaan Jawi yang diadakan di Kuala Terengganu pada tahun 1984. Pada tahun 1986, diterbitkan sistem ejaan Jawi yang disempurnakan dan pada tahun 1988, diterbitkan daftar ejaan rumi-Jawi oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Kajian Kang Keung Seuk

Dalam masa keghairahan untuk meningkatkan semula penggunaan tulisan Jawi, maka muncullah seorang pengkaji yang datang dari luar. Kali ini bukan dari Barat tetapi dari Timur secara kebetulan sesuai dengan dasar Negara sekarang yang memandang ke Timur. Pengkaji ini tidak lain adalah daripada Encik Kang Keung Seuk merupakan seorang sarjana bahasa Melayu dari Korea. Beliau telah membuat kajian tentang ‘Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu’. Kajian ini merupakan tesis beliau untuk memenuhi keperluan Ijazah Sarjana Sastera di Universiti Malaya.

Beliau telah mengkaji tentang perkembangan tulisan Jawi sejak ia diperkenalkan dalam masyarakat Melayu hingga pada masa kajian ini dijalankan. Dalam kajian itu, beliau telah merujuk kepada kajian yang telah dibuat oleh pengkaji-pengkaji terdahulu seperti Shellabear (lihat bab III), selain daripada penelitian beliau sendiri yang berdasarkan bahan-bahan yang beliau pilih dan temui. Satu hal yang menarik dalam tulisan saudara Kang ini adalah beliau telah mengemukakan satu teori tentang perkembangan sistem ejaan Jawi dari dahulu hingga sekarang iaitu dari tarikh kira-kira 1200 Masihi hingga 1986.

Beliau telah membahagikan perkembangan tadi kepada dua bahagian besar iaitu pengaruh Arab dan unsur Melayu. Bahagian pengaruh Arab dibahagikan kepada dua pecahan lagi iaitu ejaan yang menggunakan baris dan ejaan yang menggunakan shaddah atau sabdu. Sedangkan bahagian unsur juga Melayu dibahagikan kepada dua iaitu penambahan vokal depan dan penambahan vokal belakang. Beliau telah menganalisis perkembangan dan perubahan sistem Jawi itu secara gemilang dan mudah difahami. Sebagai contoh ialah ejaan perkataan ’ترلالو‘. Beliau telah mencabarkan perkembangannya begini:
ترلال ترلالو ترلالو ترللّ ترلل


Tetapi di sini saudara Kang tidak menyebutkan dan memperincikan tentang kekeliruan-kekeliruan yang banyak timbul dari sebab sistem ejaan yang bertukar dan digunakan itu. Di peringkat ini sebenarnya timbul banyak masalah iaitu sukarnya membaca Jawi dengan betul seperti perkataan رنچڠ (sejenis aksara atau tulisan orang-orang Melayu pada suatu masa dahulu):  ada yang menyebutnya sebagai (rencang) dan ada yang menyebutnya rencong (A. Samad). (Ahmad, 1957) اوتس :  (utus) atau (utas), بوسر : (busar) atau (busur) dan lain-lain. Kesukaran-kesukaran di atas hanya dapat diatasi dengan meletakkan huruf-huruf vokal.